global

Pemandu teksi ditahan

Oleh Agensi

SEORANG pemandu teksi di Mesir ditahan selepas menurunkan penumpang warga China yang didakwa dijangkiti Covid-19.

Video itu menjadi tular di media sosial hingga mengundang kemarahan orang ramai.

Lelaki Asia itu ‘dibuang’ di tepi lebuh raya yang sibuk berhampiran Maadi di selatan Kaherah.

Dalam video itu, pemandu dilihat meletakkan tisu di hidungnya manakala lelaki warga China itu berada di belakang.

Terdengar suara lelaki lain di dalam video secara berseloroh berkata: ‘Kes pertama koronavirus di Mesir.’

Kemudian, lelaki dipercayai individu sama memberitahu pemandu supaya ‘membuangnya.’

“Semoga Tuhan menyokong anda, Haji, buang dia,” katanya.

Insiden itu yang dipercayai berlaku awal minggu lalu mencetuskan kemarahan penduduk Mesir selepas video itu dimuat naik di media sosial.

Susulan itu, beberapa rakyat Mesir melawat lelaki China di hotelnya di Kaherah.

Mereka menyatakan permohonan maaf atas insiden buli dan perkauman itu.

Dalam pada itu, kejadian turut menarik perhatian selebriti yang mengecam perbuatan berkenaan.

“Ini bukan etika orang Mesir, maafkan kami.

“Tidak untuk membuli dan perkauman, kita jauh lebih baik daripada tingkah laku ini,” kata bintang filem Mesir, Ahmad Al Saqqa.

Lelaki itu dipercayai jurutera China yang baru tiba di Mesir untuk bekerja dengan sebuah syarikat pembinaan.

Kes itu kini dalam siasatan polis.

Setakat ini, Mesir sudah merekodkan 126 kes Covid-19 dengan dua kematian.

Disiarkan pada: March 17, 2020 @ 6:00am
d