global

Edar daging guna lori sampah

Oleh Agensi

SUSULAN Wuhan masih dikenakan perintah berkurung akibat Covid-19, jawatankuasa penduduk di wilayah itu terpaksa menggunakan lori sampah untuk menghantar 1,000 beg berisi daging sejuk beku.

Portal Gulf News melaporkan, tular gambar di media sosial menunjukkan jawatankuasa kejiranan di sebuah perumahan di Wuhan didapati menggunakan lori sampah mengedarkan daging sejuk beku kepada penduduk.

Menurut laporan media, jawatankuasa kejiranan komuniti, Gangdu Garden terpaksa melakukan perkara itu selepas kebanyakan penduduk Wuhan tidak dibenarkan pergi ke kedai dan mengharapkan sukarelawan bertanggungjawab mengedarkan barangan keperluan mereka.

Lebih 206,900 individu di Shanghai menjadi sukarelawan melawan wabak Covid-19, menurut Persatuan Sukarelawan Shanghai.

Sekeping gambar kejadian itu dikongsi pengguna media utama China dengan kapsyen, ‘trak sampah digunakan untuk mengedarkan daging kepada penduduk tempatan di Wuhan’ pada Rabu sehingga mencetuskan bantahan awam.

Pejabat pengurusan kemudian terpaksa membuat permohonan maaf dan berjanji daging itu akan dibuang dan melakukan penghantaran semula.

Susulan kejadian, dua pegawainya dipecat.

Setakat semalam, China merekodkan 3,226 kes kematian akibat Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 18, 2020 @ 6:01am
    d