global

Letak jawatan Menteri Kesihatan sebab letih

Oleh AFP

Hague: Keletihan hingga pengsan ketika berbahas mengenai isu Covid-19 menjadi punca Menteri Kesihatan Belanda Bruno Bruins meletak jawatan.

Peletakan jawatan Bruins, 56, diterima Istana Negara itu dan baginda mengucapkan terima kasih atas perkhidmatan beliau selama berkhidmat.

Bruins pengsan ketika berucap di Parlimen pada Rabu lalu yang menyebabkan dia terpaksa dipapah keluar.

Perdana Menteri Belanda Mark Rutte berkata, peletakan jawatan Bruins diterima kerana tidak dapat menganggarkan tempoh beliau akan pulih dan bersedia bertugas.

“Keadaan krisis ini memerlukan seorang menteri yang berada dalam keadaan bersedia sepenuhnya dan mampu untuk bertindak serta merta,” katanya dalam temubual bersama rangkaian televisyen negara itu.

Buat sementara waktu, Timbalan Perdana Menteri Belanda, Hugo de Jonge akan mengambil alih tugas Bruins sehingga penggantinya dilantik.

Sementara itu, Bruins yang mengeluarkan kenyataan menerusi media sosial memaklumkan dia keletihan kerana perlu bertugas sejak beberapa minggu lalu bagi menangani Covid-19.

“Sekarang saya rasa semakin pulih dan akan pulang ke rumah untuk berehat. Saya akan kembali bertugas untuk memerangi krisis #corona sebaik mungkin,” katanya.

Belanda merekodkan 2,460 kes termasuk 76 kematian sebelum ini menerima kritikan kerana dilihat lambat bertindak menangani penularan wabak.

Disiarkan pada: March 20, 2020 @ 12:06pm
d