global

Tidak boleh solat di pekarangan Masjidil Haram, Nabawi

Oleh Agensi

KERAJAAN Arab Saudi tidak membenarkan orang ramai memasuki dan solat di pekarangan dua masjid suci di Makkah dan Madinah sebagai usaha membendung penularan koronavirus baharu (Covid-19).

Perkara itu diumumkan Jurucakap Ketua Umum Masjid Besar dan Hal Ehwal Nabi, hari ini.

“Pihak berkuasa, badan keselamatan dan kesihatan memutuskan untuk menghentikan kehadiran orang ramai dan tidak membenarkan solat di luar Masjidil Haram di Makkah dan Masjid Nabawi di Madinah bermula Jumaat, 20 Mac (hari ini) sebagai sebahagian langkah pencegahan penularan Covid-19," kata jurucakap itu dalam ciapan di Twitter.

Arab Saudi merekodkan 274 kes postif Covid-19 setakat semalam, lapor Kementerian Kesihatan Arab Saudi.

Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud dalam ucapan televisyen malam tadi berkata, kerajaannya mengambil segala langkah diperlukan untuk memerangi Covid-19 dan memastikan setiap penduduk dan warganya diberikan ubat, makanan dan barang keperluan menghadapi krisis itu.

“Negara anda, kerajaan Arab Saudi, terus mengambil langkah berjaga-jaga menghadapi pandemik ini dan membendung penularannya.

“Kami bergantung pada bantuan Allah SWT dan mengerahkan sepenuhnya kemampuan kami, disokong keazaman kuat untuk menghadapi kesulitan dengan ketabahan orang-orang yang beriman di barisan hadapan,” katanya.

Disiarkan pada: March 20, 2020 @ 11:52pm
d