global

Tiga curi 100,000 topeng muka dicekup

Oleh Agensi

KIEV: Di sebalik kekalutan untuk mendapatkan bekalan penutup hidung dan mulut ekoran penularan Covid-19, tiga lelaki Ukraine ini mengambil kesempatan dengan mencuri 100,000 barang berkenaan, baru-baru ini.

Dalam laporan Gulf News, tindakan lelaki terbabit yang kemudiannya menjual barangan curi itu kepada individu lain akhirnya memakan diri selepas mereka ditahan pihak berkuasa negara berkenaan.

Pejabat Pendakwa pada Selasa memaklumkan, pihak berkuasa sudah mengesan beberapa individu lain yang membeli penutup hidung dan mulut berkenaan pada harga AS$37,000 (RM162,596).

Lelaki terbabit berbuat demikian untuk menjual semula topeng muka berkenaan pada harga yang lebih tinggi seterusnya mendapat keuntungan mudah kerana permintaan tinggi daripada masyarakat.

Kumpulan tiga lelaki berusia antara 26 hingga 42 tahun itu bakal berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun, jika sabit kesalahan.

Ukraine kini mengesahkan 41 kes Covid-19 dengan tiga kematian.

Kerajaan negara itu pada Isnin mengumumkan pengangkutan awam, bar, restoran dan pusat beli-belah ditutup untuk mengekang penularan wabak berkenaan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 22, 2020 @ 7:15am
    d