global

37 tetamu positif Covid-19

Oleh Agensi

SYDNEY: Kemeriahan majlis perkahwinan satu pasangan di Australia membawa khabar duka selepas 37 tetamunya positif Covid-19.

Scott Maggs, 37, dan Emma Metcalf, 36, berkahwin pada majlis dihadiri 140 tetamu di kawasan percutian di Stanwell Tops, dekat sini, 6 Mac lalu.

Sebaik selesai hari bersejarah itu, pengantin kemudiannya berbulan madu ke Maldives.

Percutian bulan madu mereka dikejutkan dengan berita enam daripada tetamu disahkan positif Covid-19.

Daily Mail UK melaporkan, dalam tempoh dua minggu selepas majlis perkahwinan itu, mereka sekali lagi dikejutkan apabila jumlah tetamu yang dijangkiti virus itu naik mendadak sehingga mencecah 37 orang.

Bercakap kepada Sydney Morning Herald, Metcalf berkata, dia dan suaminya mengakui ada berpelukan dengan tetamu dalam majlis berkenaan.

Namun katanya, mereka disahkan negatif Covid-19.

“Kini, kami perlu berdepan dengan tuduhan orang ramai yang mendakwa saya dan suami tidak bertanggungjawab serta menyalahkan kami,” katanya.

Maggs dalam hantaran di Instagram pula memaklumkan, perhatian media terhadap apa yang berlaku pada perkahwinannya hanya mengundang cemas masyarakat dan tidak membantu menyelesaikan masalah.

Kini, kisah perkahwinan mereka menjadi tajuk utama akhbar sedangkan mereka mendakwa tidak melakukan sebarang kesalahan.

Sementara itu, penyedia perkhidmatan majlis perkahwinan itu menjalankan pemeriksaan ke atas semua kakitangannya dan mengesahkan tiada yang dijangkiti virus terbabit.

Sehingga petang Sabtu, Australia merekodkan lebih 900 kes Covid-19 dengan tujuh kematian.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 22, 2020 @ 7:45am
    d