global

Perintah 'lockdown' New Delhi mula hari ini

Oleh BERNAMA

New Delhi: New Delhi yang didiami kira-kira 20 juta penduduk, berada di bawah perintah sekatan pergerakan masuk dan keluar (lockdown) selama seminggu mulai hari ini sebagai langkah drastik untuk membendung rantaian jangkitan wabak Covid-19.

Ketua Menteri New Delhi, Arvind Kejriwal berkata, keadaan yang luar biasa memaksa tindakan luar biasa dilaksanakan.

Menurutnya, perintah lockdown dibuat hingga 31 Mac ini.

India melaporkan hampir 400 kes disahkan setakat ini dan menurut temu bual media tempatan dengan doktor, meramalkan keadaan mungkin akan lebih serius.

New Delhi mencatatkan 27 kes hingga Ahad, dengan enam kes adalah jangkitan antara komuniti.

Pihak berkuasa persekutuan dan negeri mengumumkan penggantungan perkhidmatan pengangkutan dan penutupan pasar, sekolah, panggung wayang dan tempat-tempat awam lain.

Hanya beberapa perkhidmatan pengangkutan awam beroperasi untuk mengangkut kakitangan perkhidmatan kesihatan, makanan, bekalan air dan elektrik.

Semua penerbangan antarabangsa dan perkhidmatan kereta api juga digantung, menyaksikan 1.3 bilion penduduk terjejas.

Negeri seperti Andhra Pradesh, Punjab, Telangana, Bihar dan Uttarakhand, turut menguatkuasakan perintah lockdown.

Sebanyak 75 daripada 700 wilayah turut dikenakan langkah sama.

Disiarkan pada: March 23, 2020 @ 1:43pm
d