global

Budak ditikam wanita sakit mental

Oleh Agensi

London: Malang buat seorang budak perempuan berumur tujuh tahun yang mati ditikam wanita tidak dikenali dengan pisau ketika beriadah bersama keluarga di Queen Park, semalam.

Daily Mail melaporkan, unit kecemasan menerima maklumat insiden itu pada jam 2.30 petang sebelum menghantar sepasukan anggota paramedik untuk ke tempat kejadian bagi memberi bantuan.

Namun budak itu gagal diselamatkan kerana cedera serius di bahagian lehernya.

Suspek yang berusia 30 tahun dilaporkan sudah ditahan sepasukan polis tidak lama selepas melakukan serangan itu.

Berikutan insiden itu, laluan masuk ke taman ditutup dan diletakkan pita keselamatan manakala keluarga mangsa diminta beredar bagi memberi laluan kepada pasukan forensik menjalankan siasatan.

Timbalan Ketua Konstabel Polis Greater Manchester, Russ Jackson mengesahkan insiden itu dan mengakui tidak boleh menggambarkan betapa tragisnya kematian budak perempuan berkenaan.

“Suspek tidak mengenali atau mempunyai hubungan rapat dengan keluarga mangsa dan ditangkap orang awam sebelum diserahkan kepada pihak polis.

“Buat masa ini, suspek ditahan reman dan akan disoal siasat oleh detektif bertugas untuk siasatan lanjut.

“Serangan itu dilakukan secara rawak dan difahamkan suspek mempunyai rekod masalah kesihatan mental, tetapi pihak polis akan menyiasat bagi mengenal pasti motif sebenar pembunuhan berkenaan,” katanya.

Sementara itu, salah seorang saksi kejadian, Kyra Coop berkata, dia berada di bangku rehat di taman berkenaan ketika kejadian dan tahu mengenai apa yang berlaku selepas diminta polis untuk beredar meninggalkan kawasan.

Disiarkan pada: March 24, 2020 @ 6:00am
d