global

Orang tua terabai

Oleh AFP

Madrid: Askar Sepanyol menemui individu terabai dan ada yang sudah meninggal dunia di rumah penjagaan orang tua di negara itu.

Ia ditemui askar ditugaskan untuk menyahkuman rumah penjagaan terbabit susulan penularan wabak Covid-19.

Menteri Pertahanan, Margarita Robles dalam reaksinya berkata, askar bertugas memberitahu mereka melihat orang tua yang sudah meninggal dunia di atas katil di rumah berkenaan.

“Sehubungan itu, kita akan lebih tegas berhubung isu penjagaan orang tua di premis seperti itu,” katanya dalam satu temu bual dengan media tempatan.

Susulan kejadian, pihak berkuasa melancarkan siasatan menyeluruh bagi menyiasat insiden berkenaan.

Setakat Isnin, jumlah kematian akibat Covid-19 di Sepanyol melonjak kepada 2,182 orang.

Dalam pada itu, pihak berkuasa Madrid sudah menukar sebuah gelanggang luncur ais di dalam sebuah kompleks beli-belah di bandar itu sebagai rumah mayat.

Ia susulan peningkatan kes kematian akibat wabak itu sekali gus menyebabkan hospital menghadapi kekangan dalam menempatkan mayat mangsa.

“Ini adalah sebagai langkah sementara saja. Ia dapat membantu pihak hospital dan ahli keluarga mangsa,” katanya.

Terdahulu, majlis bandar raya menegaskan semua 14 tanah perkuburan

awam sudah berhenti daripada menerima mayat pesakit Covid-19.

Ia berikutan kakitangannya tidak mempunyai kelengkapan perlindungan yang mencukupi.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 25, 2020 @ 7:01am
    d