global

'Saya menangis lihat anak berlari mendapatkan ayahnya'

Oleh AFP

Hubei: Pusat tercetusnya pandemik Covid-19, bandar Wuhan yang memiliki 11 juta penduduk kini mula melonggarkan sekatan selepas lebih dua bulan menjalani perintah berkurung.

Wuhan melaksanakan sekatan pergerakan keluar masuk sejak Januari lalu dengan penduduk dilarang meninggalkan bandar itu serta menghadapi pelbagai sekatan dalam rutin harian mereka secara drastik.

Namun, hab perindustrian dan pengangkutan itu kini menunjukkan tanda mengakhiri perintah berkurung itu dengan memudahkan pergerakan orang ramai.

Orang ramai kini dibenarkan memasuki tetapi tidak boleh meninggalkan bandar itu dan banyak kereta api yang tiba pada hari ini ditempah sehari lebih awal.

Media tempatan melaporkan, perjalanan penumpang kereta api pertama tiba di bandar itu selepas tengah malam tadi.

Seorang wanita berusia 36 tahun yang tiba semalam berkata, dia dan anak perempuannya sudah 10 minggu berjauhan dengan suaminya di Wuhan.

“Ketika kereta api menghampiri Wuhan, kami berdua sangat teruja. Rasanya macam kereta api ini bergerak lebih cepat dari sebelum ini.

“Saya menangis melihat anak perempuan saya berlari mendapatkan bapanya selepas sekian lama tak bertemu,” katanya kepada AFP.

Tinjauan mendapati, kakitangan di stesen Wuhan memakai lengkap peralatan perlindungan diri.

China kini dilaporkan sedang berjuang mengawal gelombang kes import susulan kes jangkitan mendadak dari luar negara.

Semua ketibaan di Wuhan perlu menunjukkan kod hijau pada aplikasi mudah alih untuk membuktikan mereka benar-benar sihat.

Di tempat lain di China, setiap pengembara beratur panjang di stesen kereta api untuk menaiki perkhidmatan berkelajuan tinggi kembali ke Wuhan.

Sekatan ke atas penduduk yang keluar dari Wuhan tidak akan ditarik balik sehingga 8 April, namun lapangan terbang dibuka semula untuk penerbangan domestik.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 28, 2020 @ 1:27pm
    d