global

Kreatifnya...

Oleh Agensi

Moscow: Seorang pesara di kawasan pedalaman Makarye, timur Russia mengubah suai rumah sederhananya dengan tampalan mozek pelbagai penutup botol berwarna warni sejak tujuh tahun lalu.

Lapor portal Oddity Central, artis amatur itu, Nina Krinitsina memaku lebih 1,000 penutup botol di dinding luar rumahnya selepas mendapat galakan daripada anak saudaranya.

Anak saudara lelaki wanita itu menyediakannya rekaan grid yang dimuat turun menerusi Internet sebelum Krinitsina memotongnya secara berasingan.

Pada mulanya dia menggunakan kacang pis, tetapi mendapat idea sebelum beralih kepada material yang lebih sesuai iaitu penutup botol plastik.

Dia tidak malu mengumpul pelbagai warna penutup botol itu di kawasan pembuangan untuk melengkapkan rekaannya itu.

“Saya pergi ke kawasan pembuangan mencari penutup itu.

“Kadangkala, saya jumpa 100 atau 200 penutup botol, paling sedikit kurang daripada 10 penutup botol,” katanya kepada wartawan tempatan.

Motif rekaan mozek Krinitsina membabitkan watak kartun Soviet dan cerita rakyat Russia.

Katanya, rumah berkenaan menjadi tarikan pelancong tempatan apabila ramai keluarga dari wilayah lain membawa anak mereka untuk menikmati hasil kreativitinya itu. - Agensi

Disiarkan pada: March 31, 2020 @ 7:47am
d