global

Kau dah kenapa?

Oleh Agensi

Sydney: Tidak tahu apa motifnya, seorang lelaki di Australia sanggup berbaring di atas jalan raya selama lebih lima jam.

Daily Mail melaporkan lelaki berkenaan mencetuskan panik dan kegelisahan orang awam apabila berbaring di tengah Jalan Windsor, Northmead, barat Sydney sejak 4.40 pagi, Ahad lalu.

Dia dilaporkan melintasi pelbagai lorong yang lazimnya sibuk itu sebelum berlari di sepanjang jalan.

Lelaki yang memakai baju-T dan ditemani seekor anjing peliharaan itu kemudian dilihat berbaring sambil meletakkan beg galas sebagai alas kepalanya.

Kelakuannya yang pelik dan tidak boleh diduga itu menyebabkan polis dari pelbagai unit termasuk pasukan dari skuad bom tiba ke lokasi kejadian untuk sebarang kemungkinan.

Dia juga membuat permintaan pelik mahukan telefon bimbit sebelum menyerah diri kepada pihak berkuasa.

Lelaki itu akhirnya ditahan pihak berkuasa di lokasi kejadian kira-kira 9.30 pagi selepas lebih lima jam proses rundingan.

Bagaimanapun, robot skuad bom masih dikekalkan di tempat kejadian.

Akibat tindakan lelaki itu, semua lalu lintas bahagian utara di kawasan itu dilencongkan, manakala Lebuhraya Cumberland di Persiaran James Ruse ditutup.

Seorang wanita yang enggan dikenali berkata, dia mengawasi gerak-geri lelaki asing itu dari jauh.

“Lelaki itu tidak bergerak langsung dalam beberapa jam sebelum penahanannya,” katanya yang menetap di salah sebuah bangunan di seberang jalan dari lokasi kejadian. - Agensi

Disiarkan pada: March 31, 2020 @ 7:56am
d