global

Covid-19: Ramalan jumlah mangsa maut di AS

Oleh BERNAMA

WASHINGTON: Amerika Syarikat berdepan dua unjuran senario angka korban akibat Covid-19 iaitu seramai 100,000 orang, tetapi jumlah boleh meningkat kepada 2.2 juta jika dalam keadaan terburuk, agensi berita Sputnik memetik data pakar dikeluarkan Rumah Putih pada Selasa.

Senario pertama membabitkan ‘campur tangan’ iaitu langkah oleh pihak berkuasa mengurangkan kesan buruk wabak berkenaan.

Dalam kes ini, kadar kematian adalah antara 100,000 hingga 240,000 orang.

Andai tiada sebarang campur tangan, kadar kematian antara 1.5 juta hingga 2.2 juta orang.

Selain itu pakar meramalkan, kemuncak jumlah korban akibat Covid-19 di Amerika berlaku pada 15 April - dengan sejumlah 2,214 orang mungkin maut pada tarikh berkenaan.

Kemudian jumlah kematian akan berkurang sehingga 1 Jun dengan kira-kira 250 korban setiap hari dan kurang 100 orang pada 1 Julai.

Jumlah kematian di seluruh dunia akibat Covid-19, meningkat lebih 40,000 pada Selasa, dengan kes disahkan melebihi 823,000, menurut Johns Hopkins University.

Amerika Syarikat melaporkan kes paling tinggi - lebih 165,000 - dengan 3,178 kematian.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 11 Mac mengisytiharkan wabak itu sebagai pandemik.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: April 1, 2020 @ 1:41pm
    d