global

Ditembak mati sebab ingkar perintah berkurung

Oleh Agensi

Abuja: Seorang lelaki di Nigeria ditembak mati kerana dipercayai ingkar arahan kerajaan negara itu untuk berada di dalam rumah.

Japan Times melaporkan lelaki terbabit meninggal dunia pada Khamis selepas ditembak anggota tentera di Warri, Delta, negeri selatan negara berkenaan.

"Kejadian itu menyebabkan golongan muda mengadakan bantahan dengan melakukan pembakaran di jalan raya namun polis dapat kawal keadaan," kata jurucakap polis Onome Onowakpoyeya.

Nigeria kini melaksanakan pelbagai langkag untuk mengekang penularan wabak Covid-19 di negara itu.

Ia termasuk menguatkuasakan undang-undang sekatan pergerakan masuk dan keluar (lockdown) di beberapa bandar utamanya.

Dalam kenyataan pada Khamis, Ahli Parlimen yang mewakili kawasan berkenaan mengutuk tindakan berkenaan dan mahu pelaku dikenakan tindakan.

"Sesiapa yang diarahkan untuk menjaga keamanan negara perlu memahami tanggungjawab terutamanya apabila membabitkan nyawa manusia," kata Senator Ovie Omo-Agege.

"Pembunuhan di Warri, satu daripada banyak kes. Pada pendapat saya isu ini tidak sepatutnya berlaku sehingga menyebabkan pembunuhan yang tidak adil," katanya.

Beliau mendakwa pihak berkuasa tentera sudah menahan anggotanya yang dilaporkan menembak mati lelaki berkenaan untuk siasatan lanjut.

Setakat ini, Nigeria sudah mencatat 210 kes Covid-19 dengan empat kematian.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: April 4, 2020 @ 9:46am
    d