global

Covid-19: China berkabung

Oleh AFP

Wuhan: China hari ini berkabung bagi memperingati lebih 3,000 rakyatnya yang terkorban akibat wabak koronavirus baharu (Covid-19).

Di seluruh negara, semua penduduk menghentikan aktiviti mereka dan berdiam diri selama tiga minit, tepat jam 10 pagi waktu tempatan.

Siren dan hon dibunyikan bagi memperingati pesakit dan kakitangan perubatan yang meninggal dunia,

sejak wabak itu kali pertama dikesan di sini, akhir tahun lalu.

Kakitangan Hospital Tongji di sini berdiri di luar bangunan, dengan ada yang masih memakai sut perlindungan yang menjadi simbol kepada ‘perang’ terhadap virus maut itu.

“Saya amat sedih mengenangkan rakan dan pesakit yang meninggal dunia,” kata Xu, seorang jururawat di Hospital Tongji di sini, sambil menahan linangan air mata.

Imej dari stesen penyiaran tempatan menunjukkan Presiden China Xi Jinping dan kakitangan kanan kerajaan lain berdiri di laman bangunan kerajaan di Beijing dengan memakai bunga putih.

Di Dataran Tiananmen di ibu negara itu, bendera negara diturunkan separuh tiang.

Orang awam yang berada di daerah beli-belah paling sibuk di Beijing juga menghentikan aktiviti dan menundukkan kepala bagi menghormati upacara berkenaan.

Pegawai rasmi kerajaan berkata, upacara itu bagi mengenang jasa pejuang barisan hadapan yang terkorban termasuk Li Wenliang, doktor yang menjadi antara individu paling awal memberi amaran berhubung Covid-19.

Kematian Li pada Februari lalu menimbulkan kemarahan rakyat berhubung cara kerajaan menangani penularan wabak berkenaan.

Siasatan pihak berkuasa kemudian mendapati bahawa Li dihukum secara salah oleh polis.

Sehingga kini, wabak yang dikatakan bermula di Wuhan itu sudah menjangkiti lebih satu juta penduduk dunia dan menyebabkan hampir 60,000 kematian.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: April 4, 2020 @ 11:15am
    d