global

Kembar Covid dan Corona

Oleh Agensi

New Delhi: Satu pasangan kembar lelaki dan perempuan di India yang dilahirkan pada 27 Mac lalu dinamakan sebagai Covid dan Corona.

Nama itu diberikan ibu bapa pasangan itu susulan kelahiran anak mereka ketika dunia kini berperang dengan penularan wabak Covid-19.

Metro.co.uk melaporkan, ibu bapa bayi itu berharap nama yang diberikan memberi kenangan bagaimana kesusahan untuk melahirkan mereka ketika India bergelut dengan pandemik itu.

Ibu pasangan kembar itu, Preeti Verma berkata, ketika mahu melahirkan anaknya itu, dia dan suami berdepan pelbagai kesukaran dan nama itu diberikan boleh menjadi kenangan kepada mereka.

"Kami tidak terfikir untuk memberikan nama sedemikian namun ada kakitangan hospital yang mula memanggil mereka Covid dan Corona.

"Akhirnya saya dan suami setuju menamakan anak kami sempena pandemik ini," katanya.

Ketika dalam perjalanan ke hospital pada 26 Mac lalu, ambulans yang membawa wanita itu ditahan beberapa kali dalam sekatan jalan raya memandangkan sekatan pergerakan yang dikuatkuasakan di India.

Doktor terpaksa menjalankan pembedahan ekoran beberapa komplikasi dan jurucakap hospital memaklumkan kedua-dua bayi kini sihat.

Dalam pada itu, media tempatan melaporkan bahawa pasangan itu tidak berhasrat untuk menggunakan nama itu dalam sijil kelahiran anak.

Mereka dikatakan akan menukar nama itu kepada nama lain, tidak lama lagi.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: April 4, 2020 @ 3:14pm
    d