global

Guna seterika 'bunuh' virus

Oleh Agensi

Gujarat: Pelbagai cara digunakan untuk membunuh virus Covid-19 walaupun keberkesanannya belum terbukti.

Seorang pegawai Bank of Baroda di sini, menggunakan seterika bagi membasmi kuman pada cek yang diterima daripada pelanggan.

Pengguna Twitter, Anand Mahindra berkongsi video di media sosial menunjukkan rutin harian di kaunter bank berkenaan dijalankan sepanjang tempoh perintah berkurung di India.

Dalam klip video berkenaan, seorang kakitangan bank memakai penutup hidung dan mulut dan sarung tangan mengambil cek menggunakan penyepit.

Cek yang diambil itu terus diletakkan di atas meja sebelum ditekap dengan seterika.

Anand berkongsi klip video itu dengan tanda pagar ##whatsappwonderbox dan video itu kini ditonton 118,000 kali.

“Saya tidak fikir teknik digunakan pada cek itu berkesan tapi kreativiti itu perlu dipuji,” katanya.

India kini menjalani kawalan pergerakan selama 21 hari bagi menghalang penularan Covid-19, pandemik yang kini mengancam hampir seluruh dunia.

Pelbagai reaksi diterima daripada warganet dan ada beranggapan teknik itu berkesan, manakala ada yang ragu-ragu.

Setakat ini, India mencatatkan 3,588 kes jangkitan Covid-19 dengan 99 kematian.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: April 6, 2020 @ 6:00am
    d