global

Covid-19: PM Jepun akan isytihar darurat

Oleh BERNAMA

PERDANA Menteri Jepun, Shinzo Abe merancang untuk mengisytiharkan darurat di negara itu Rabu ini bagi membendung penularan wabak koronavirus baharu (Covid-19).

Agensi berita Sputnik yang memetik agensi berita Kyodo hari ini, melaporkan, seorang pegawai kerajaan berkata, perisytiharan darurat membolehkan pihak berkuasa tempatan mengarahkan penduduk tidak keluar rumah, menyertai majlis awam serta mematuhi garis panduan penjagaan kesihatan diri.

Bagaimanapun, mereka yang gagal mematuhi peraturan dan cadangan berkenaan tidak akan didenda.

Menurut agensi berita itu, perintah darurat itu akan memberikan kesan ke atas bandar raya besar seperti Tokyo dan Osaka.

Abe dijangka berucap pada Selasa dan perintah darurat itu dikuatkuasakan pada Rabu, menurut sumber kerajaan.

Perdana Menteri Jepun itu juga akan memperincikan wilayah mana yang akan menjadi sasaran darurat dan tempoh pelaksanaan perintah berkenaan.

Sehingga Ahad, Jepun mencatatkan 4,563 kes Covid-19, 104 kematian.

Di Tokyo sahaja, 143 kes jangkitan baharu dicatatkan, menjadikan sejumlah 1,033 kes direkodkan di kota raya itu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: April 6, 2020 @ 1:25pm
    d