global

Pulih Covid-19, lelaki 104 tahun sambut hari jadi

Oleh Agensi

OREGON, Amerika Syarikat: Veteran tentera berusia 104 tahun yang pulih daripada jangkitan koronavirus baharu (Covid-19), baru-baru ini, menyambut ulang tahun kelahirannya, Rabu lalu.

CNN melaporkan, Bill Lapschies meraikan majlis ulang tahunnya itu bersama keluarga dengan hanya sambutan kecil di Edward C Allworth Veterans' Home, Lebanon, di sini, tanpa kehadiran rakan.

Kakitangan kediaman veteran tentera itu membawa Lapschies ke sebuah rumah teres dengan menggunakan kerusi roda bersama bendera Amerika Syarikat (AS) di ribanya untuk meraikan sambutan itu.

Keluarga terdekat yang menghadiri majlis itu hanya meraikannya dari jarak jauh di luar rumah sahaja sambil menunjukkan plakad dan poster, selain hanya melemparkan isyarat ‘ciuman’ berikutan arahan penjarakan sosial oleh pihak berkuasa.

Anak perempuannya, Carolee Brown berkata, sebelum pandemik Covid-19, mereka sebenarnya merancangnya meraikan hari ulang tahun itu secara besar-besaran.

“Ketika meraikan ulang tahunnya (Lapschies) yang ke-101, kami menyambutnya dengan kehadiran 200 orang, namun (sambutan kali ini) kami cuba menjaga penjarakan sosial seperti yang diminta Gabenor (Kate) Brown,” katanya.

“Pun begitu, kami sangat gembira dia pulih (jangkitan Covid-19) dan kami hanya perlu melakukan sesuatu (menyambut hari ulang tahun) untuknya,” kata Brown.

Jabatan Hal Ehwal Veteran Tentera Oregon merekodkan 15 penghuni di kediaman itu positif Covid-19 dan dua daripadanya sudah meninggal dunia.

Lapschies dikuarantin di biliknya selepas dia mula menunjukkan gejala Covid-19 pada 5 Mac, dan Brown memberitahu, bapanya “sangat, sangat sakit.”

“Dia melalui (proses) pemulihan yang hebat ini. Kami seakan tidak percaya, melihat dia duduk di kerusi rodanya yang melambaikan tangan kepada kami melalui tingkap dan kami yakin, dia mampu melawannya (Covid-19),” kata Brown.

Menantu lelaki Lapschies, Jim Brown pula berkata, bapa mentuanya itu mempunyai ‘daya tahan’ yang kuat, bahkan pernah terselamat daripada ancaman Spanish Flu dan Great Depression (kejatuhan ekonomi dunia pada 1929-1933). Dia juga pernah ditempatkan di Kepulauan Aleutian Alaska semasa Perang Dunia II.

Bagi Lapschies, ketika ditanya bagaimana perasaannya di usia 104, dia berkata, “Cukup baik.”

Keluarga Lapschies merancang untuk meraikan ulang tahun ke-105 sekiranya warga emas itu panjang umur.

“Melihat senyumannya, saya harap anda dapat melihatnya, ‘topeng’ (wajah tua) itu menutupinya, tetapi senyumannya benar-benar istimewa,” kata cucu Lapschies, Jamie Yutzie.

Keluarganya turut berharap, pemulihan Lapschies dapat memberikan harapan kepada orang lain yang dijangkiti Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: April 6, 2020 @ 2:03pm
    d