global

Polis serbu Ruby Princess

Oleh AFP

Sydney: Polis Australia menyerbu kapal persiaran Ruby Princess yang menjadi punca 25 peratus daripada jumlah kematian keseluruhan Covid-19 di negara itu dan merampas kotak hitam untuk siasatan.

Polis dilihat memakai baju pelindung dan topeng untuk menaiki kapal di Port Kembla, kira-kira 80 kilometer di selatan Sydney, semalam.

Pesuruhjaya Polis New South Wales Mick Fuller berkata, serbuan itu bagi melengkapkan siasatan apabila pihaknya mula menyiasat kes berkenaan sebagai jenayah.

“Pegawai polis memasuki Ruby Princess untuk mengumpul bukti, kapal mempunyai kotak hitam sama seperti pesawat antarabangsa dan selain menyita bukti lain,” katanya.

Polis melancarkan siasatan jenayah ke atas pemilik kapal itu, Carnival Australia kerana membenarkan beribu-ribu penumpang turun pada pertengahan Mac lalu walaupun ada yang menunjukkan simptom selesema.

Beratus-ratus penumpang disahkan positif virus itu hingga menyebabkan 15 meninggal dunia.

Kapal persiaran itu dibenarkan berlabuh dekat Sydney selepas 200 anak kapal mula menunjukkan gejala wabak itu.

Kapal itu berlabuh selepas berminggu-minggu terkandas di laut, bagi membolehkan doktor memeriksa anak kapal yang sakit dan membawa pesakit kritikal bagi mendapatkan rawatan.

Bulan lalu, kerajaan membenarkan 2,700 penumpang turun daripada kapal dan kembali ke rumah mereka, walaupun larangan kapal persiaran berlabuh di negara itu diumumkan beberapa hari sebelumnya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: April 9, 2020 @ 10:54am
    d