global

Kematian mangsa suku Yanomami undang keresahan

Oleh AFP

SEORANG remaja dari suku Yanomami meninggal dunia akibat Covid-19 sekaligus menimbulkan keresahan sama ada virus berkenaan kini mungkin merebak dalam kalangan puak Amazon.

Puak Amazon selama ini terkenal dengan kerentanan mereka terhadap sebarang penyakit namun, kematian remaja itu memberi gambaran berbeza mengenai ketahanan mereka terhadap Covid-19.

Remaja lelaki berusia 15 tahun itu dimasukkan ke hospital minggu lalu dan dirawat di unit rawatan rapi (ICU) di Boa Vista, Roraima.

Kementerian Kesihatan Brazil dalam kenyataan berkata, remaja itu meninggal dunia akibat komplikasi pernafasan teruk.

Kumpulan pejuang hak Yanomami berkata, remaja itu ada kontak dengan banyak lagi kaum orang asli di Amazon selepas dia mula menunjukkan gejala.

Persatuan Hutukara menyalahkan penjagaan kesihatan tidak mencukupi atas kematian remaja berkenaan kerana dia dibiarkan tanpa diagnosis selepas dua minggu dimasukkan ke hospital.

Ia turut meminta kerajaan Brazil membantu proses pengasingan dan menjalankan ujian dalam kalangan semua orang asli di Amazon.

Malah, persatuan berkenaan turut menyalahkan pelombong emas haram yang dipercayai punca pembawa virus itu.

Ketua Yanomami, Dario Yawarioma berkata, wabak ini sangat berbahaya kepada mereka.

“Ia hari menyedihkan untuk kami,” katanya.

Brazil mencatatkan 800,000 puak orang Asli dari lebih 300 kumpulan etnik.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: April 12, 2020 @ 6:01am
    d