global

Vaksin siap September

Oleh Agensi

SAINTIS di United Kingdom berharap vaksin Covid-19 tersedia menjelang September depan.

Profesor Vaksinologi di Universiti Oxford, Sarah Gilbert berkata, dia yakin 80 peratus vaksin yang dibangunkan pasukannya berkesan menentang virus berkenaan.

The Times melaporkan ujian ke atas manusia dijalankan dalam tempoh dua minggu menjadikannya antara usaha pembangunan vaksin paling meyakinkan di dunia setakat ini.

Kerajaan UK juga mengatakan jika keputusannya positif, ia bersedia menaja jutaan dos.

Ia juga membayangkan sekiranya ujian berkenaan berjaya, imunisasi menentang Covid-19 berada di pasaran untuk kegunaan orang awam secepat mungkin.

Dengan pakar perubatan masih bimbang sekiranya perintah berkurung ditamatkan boleh membawa kepada peningkatkan kes baharu, hanya penemuan vaksin berkesan dapat membantu penduduk dunia kembali kepada kehidupan normal.

Sebelum ini, Prof Gilbert pernah berkata, pasukannya menghasilkan vaksin berkenaan menjelang hujung tahun ini.

Namun, berdasarkan data baharu diperoleh dan beberapa penambahbaikan, vaksin itu boleh dihasilkan lebih cepat.

“Saya yakin ia 80 peratus berkesan. Namun, tiada sesiapa boleh jamin ia berkesan untuk semua orang,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: April 12, 2020 @ 6:01am
    d