global

Mafia ambil kesempatan

Oleh Agensi

KETIKA Itali berdepan cabaran ekonomi berikutan pandemik Covid-19, geng mafia negara itu tampil membantu dengan mengedarkan makanan percuma kepada keluarga miskin yang kehabisan wang dalam tempoh kuarantin.  

The Guardian melaporkan, usaha kumpulan itu mendapat sokongan penduduk tempatan tetapi dipersoalkan oleh pihak tertentu. 

Kisah itu mendapat perhatian selepas tularnya video yang menunjukkan sekumpulan geng mafia menghantar dan mengagih barangan keperluan sebagai bantuan kecemasan kepada mereka yang memerlukan. 

Antara kawasan dilaporkan terkesan disebabkan masalah kemiskinan adalah Campania, Calabria, Sicily dan Puglia. 

Bagaimanapun, Menteri Dalam Negeri Itali, Luciano Lamorgese memberitahu kumpulan mafia itu boleh mengambil kesempatan di atas kemiskinan penduduk dengan menarik mereka masuk ke dalam pertubuhan  menerusi pemberian makanan percuma seperti pasta, air, tepung dan susu.  

Sementara itu, penyiasat Anti Mafia dan Ketua Pendakwa Raya di Catanzaro memberitahu The Guardian, kedai, kafe, restoran dan pub akan ditutup untuk lebih sebulan. 

"Jutaan penduduk akan bekerja dalam 'ekonomi kelabu' iaitu tidak menerima pendapatan lebih daripada sebulan dan tidak pasti bila mereka kembali bekerja. 

"Kerajaan memberi baucar beli-belah dalam usaha membantu keluarga terbabit kerana jika langkah itu tidak diambil, kumpulan mafia akan menawarkan khidmat sekali gus mengawal kehidupan masyarakat," katanya. 

Prof Kriminologi Universiti Oxford Federico Varese berkata, mafia bukan hanya sekadar pertubuhan jenayah tetapi yang mempunyai cita-cita untuk mengawal wilayah dan pasaran. 

"Pemberian daripada geng mafia itu bukannya hadiah dan mereka tidak melakukannya dengan niat yang baik. 

"Sebaliknya, kumpulan itu mengharapkan sesuatu sebagai balasan iaitu menolong dan bersubahat dengan  mereka dalam kegiatan bersenjata, pengedaran dadah dan lain-lain lagi," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: April 12, 2020 @ 12:23pm
    d