global

Covid-19 10 kali ganda lebih bahaya dari H1N1

Oleh Agensi

LONDON: Pandemik Covid-19 terbukti 10 kali lebih bahaya berbanding wabak selesema babi atau H1N1, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunai (WHO).

Wabak berkenaan yang berlaku antara Januari 2009 dan Ogos 2010 menyaksikan lebih 1.6 juta kes dikesan dengan 18,449 kematian.

Malah, Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus memberi amaran bahawa jumlah kematian akibat Covid-19 sudah melebihi angka yang dicatatkan akibat H1N1, dengan anggaran sepuluh kali ganda lebih tinggi.

The Independent melaporkan, amaran itu dikeluarkan selepas ada pihak mahu kerajaan melonggarkan sekatan.

Negara seperti Denmark, Amerika Syarikat dan Sepanyol berhasrat melonggarkan sedikit sekatan yang dijalankan.

“Kami hanya boleh katakan apa yang kami tahu, dan bertindak berdasarkan maklumat itu.

“Berdasarkan bukti daripada beberapa negara, ia memberi gambaran jelas mengenai virus ini, bagaimana ia bertindak, cara menghentikannya dan bagaimana untuk merawatnya.

“Ia merebak pantas namun, berkurangan agak perlahan. Maka, kawalan pergerakan juga perlu ditarik perlahan-lahan,” katanya.

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump sebelum ini mengatakan untuk mempertimbang melonggarkan sedikit sekatan pergerakan.

Beliau berulang kali mengatakan untuk membuka semula ekonomi namun, ditentang banyak pihak yang melihat tindakan itu mungkin mengundang peningkatan kes jangkitan untuk tempoh lebih lama.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: April 14, 2020 @ 5:49pm
    d