global

Jangka 1.3 juta 'mudik'

Oleh Agensi

JAKARTA: Kira-kira 1.3 juta penduduk Jakarta dan sekitarnya dijangka ‘mudik’ atau pulang ke kampung halaman menjelang Aidilfitri ketika Indonesia berdepan ancaman penularan wabak Covid-19.

Lapor The Jakarta Post, Ketua Persatuan Pengangkutan Indonesia (MTI), Agus Taufik Mulyono menyuarakan kebimbangan pergerakan besar-besaran itu boleh menyebabkan wabak itu menular dengan cepat ke kawasan lain.

“Berdasarkan Kementerian Pengangkutan, sejumlah 900,000 penduduk asal Jakarta pulang ke kampung mereka manakala 2.6 juta lagi kekal di ibu kota.

“Sebahagian daripada 2.6 juta orang itu terdiri daripada penjawat awam yang dilarang pulang tahun ini oleh Menteri Pembaharuan Pentadbiran dan Birokrasi, Tjahjo Kumolo.

“Namun, kami percaya 1.3 juta orang lagi akan balik ke kampung mereka,” katanya dalam satu taklimat media, semalam.

Katanya, pihaknya menggesa kerajaan melaksanakan larangan rasmi pulang ke kampung bagi mencegah penularan wabak itu.

“Kerajaan bukan saja harus melaksanakan larangan ini, namun pada masa sama boleh menyediakan elaun dan makanan asas untuk kebajikan mereka yang memilih kekal di Jakarta.

“Jika kerajaan pusat tidak mahu menetapkan larangan balik kampung, kesannya pasti lebih buruk. Misalnya, Jawa Tengah, Yogyakarta, Jawa Barat dan Jawa Timur akan menjadi pusat penularan terbaharu wabak ini.

“Malah, pentadbiran negeri akan menanggung beban sosial dan ekonomi,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: April 16, 2020 @ 6:00am
    d