global

Bekas diplomat menang di Gangnam

Oleh Agensi

SEOUL: Bekas diplomat Korea Utara, Thae Yong-ho memenangi satu kerusi Parlimen dalam pilihan raya di Korea Selatan.

BBC melaporkan, Thae bertanding sebagai calon utama mewakili satu parti konservatif di daerah Gangnam.

Dia yang memenangi 58.4 peratus undi dilihat mengalirkan air mata selepas kemenangan itu diumumkan.

Katanya, dia berharap mesej kemenangannya itu akan dijadikan teladan kepada pemimpin elit di Korea Utara.

“Saya mahu beritahu mereka ada jalan baru untuk masa depan yang lebih cerah,” katanya.

Korea Selatan mengadakan pemilihan parlimennya pada Rabu dan mencatatkan 66.2 peratusan mengundi biarpun berlangsung dalam situasi genting Covid-19.

Sementara itu, Parti Demokratik yang mana antara pemimpinnya adalah Presiden Moon Jae-in menang pilihan raya itu dengan 163 daripada 300 kerusi Parlimen.

Thae pernah menjawat jawatan sebagai Timbalan Duta Korea Utara ke United Kingdom, melarikan diri ke republik ini bersama keluarganya, pada 2016.

Tindakannya itu menjadikan dia pegawai tertinggi pertama Korea Utara yang melarikan diri hingga negara terbabit menggelarnya ‘sampah’.

Malah, media kerajaan negara kelahirannya itu menuduh Thae membocorkan rahsia kerajaan, menyeleweng selain terbabit kes memperkosa kanak-kanak.

Setiap tahun kira-kira 1,000 rakyat Korea Utara melarikan diri dari negara itu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: April 16, 2020 @ 5:15pm
    d