global

Indonesia catat 29 korban Covid-19 hari ini

Oleh Agensi

JAKARTA: Indonesia mencatatkan pertambahan 29 angka kematian iaitu 498 berbanding 469 mangsa yang direkodkan semalam.

Tribunnews melaporkan, berdasarkan data Agensi Pengurusan Bencana Nasional (BNPB) jumlah jangkitan kes di negara itu turut meningkat daripada 5,136 kepada 5,516 kes.

Data terbaharu itu diumumkan Jurucakap Pemerintah Indonesia berkenaan Covid-19, Achmad Yurianto petang ini.

Bagaimanapun katanya, bilangan pesakit sembuh dan dibenarkan pulang ke rumah meningkat daripada 446 kepada 548 orang.

Sementara itu, AFP melaporkan doktor di Indonesia berjuang melawan pandemik itu dengan serba kekurangan berikutan bekalan alat perlindungan diri (PPE) yang semakin terhad.

Doktor di Jakarta, Muhammad Farras Hadyan berkata, bekalan PPE di hospital semakin kehabisan menyebabkan segelintir rakannya mula mendapatkan ihsan sumbangan dari ahli keluarga untuk membeli keperluan perlindungan itu.

“Selebihnya bergantung kepada bekalan hospital tapi mereka perlu menunggu,” katanya.

Kenaikan kes saban hari menyebabkan doktor Raditya Nugraha dan rakan seperjuangannya di sebuah hospital barat Jawa bergelut untuk meneruskan perjuangan malah terpaksa berkongsi PPE.

“Kami tak cukup gogal jadi kami tunggu giliran untuk menggunakannya,” katanya.

Persatuan Doktor Indonesia memberi amaran, krisis Covid-19 ini jauh lebih buruk daripada apa yang dilaporkan dan tindak balas kerajaan ‘masih goyah’.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: April 16, 2020 @ 6:22pm
    d