global

Putera Harry, Meghan bantu pesakit kronik di LA

Oleh AFP

Los Angeles: Putera Harry dan isterinya Meghan Markle turun padang menyalurkan bantuan makanan kepada pesakit kronik di bandar itu.

Ia kemunculan pertama kerja amal secara terbuka sejak pasangan itu berpindah ke California bulan lalu ketika negeri itu dikenakan perintah berkurung.

Pasangan itu yang secara rasminya mengundur diri dari keluarga diraja Britain Januari lalu, kali pertama menjadi sukarelawan kepada Project Angel Food.

“Mereka ada di sini pada hari Easter, Ahad lalu dan mereka memberi kejutan kepada kami, Rabu lalu.

“Mereka mengagihkan makanan kepada 20 penerima dan menceriakan dunia mereka,” kata pengurus komunikasi badan amal itu, Anne-Marie Williams.

Menurut kenyataan itu, pasangan itu secara senyap-senyap meneruskan penghantaran makanan selepas menyedari beban kerja pemandu badan amal itu.

Project Angel Food yang menyatuni pesakit kronik adalah badan amal pertama mendapat sokongan secara terbuka pasangan berkenaan.

Sebelum ini, Duke dan Duchess of Sussex yang terkenal dengan sikap merendah diri selesa menyembunyikan aktiviti amal dilakukan mereka.

Disiarkan pada: April 17, 2020 @ 1:11pm
d