global

Kes Covid-19 di Singapura lebih 5,000 hari ini

Oleh BERNAMA

SINGAPURA: Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) dalam laporan awal mengesahkan penambahan 623 kes jangkitan koronavirus baharu (Covid-19) di negara itu, majoritinya membabitkan pekerja asing yang tinggal di asrama.

Penambahan itu menjadikan keseluruhan kes jangkitan di Singapura kini berjumlah 5,050 kes.

Kementerian itu dalam kenyataannya memberitahu, 25 lagi kes telah discaj, menjadikan jumlah yang sembuh sepenuhnya kini adalah 708.

“Kami masih mengkaji kes-kes ini dengan terperinci, dan maklumat lanjut mengenainya akan dikongsi bersama menerusi kenyataan media kementerian yang akan dikeluarkan lewat malam ini,” menurutnya.

Sehingga 12 tengah hari semalam, Singapura melaporkan 568 kes import, 1,170 kes dikaitkan dengan komuniti yang termasuk pemegang pas kerja tinggal di luar asrama, manakala 2,689 adalah dari asrama terbabit.

Ketika ini tidak kurang daripada 20 asrama terbabit dengan jangkitan berkenaan, dengan 12 telah diwartakan sebagai kes isolasi.

Sementara itu, kira-kira 70 kes positif membabitkan rakyat Malaysia di negara itu dengan 19 daripadanya telah sembuh sepenuhnya.

Kira-kira 10 daripadanya dikaitkan dengan enam kluster yang termasuk dua asrama, yakni Tech Park Crescent dan S11 @Punggol, di samping Mustafa Centre, SingPost, sebuah hostel di Jalan Kubor, dan sebuah premis makanan segera.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: April 17, 2020 @ 11:32pm
    d