global

3 rakyat Malaysia antara kes baharu Covid-19 Singapura

Oleh BERNAMA

TIGA rakyat Malaysia antara 596 kes baharu jangkitan Covid-19 yang dilaporkan di Singapura dengan seorang dikaitkan daripada asrama Kranji Lodge, satu daripada lebih 20 asrama kluster pekerja asing di negara itu.

Susulan itu, jumlah rakyat Malaysia dikaitkan dengan kluster asrama meningkat kepada tujuh orang manakala 95 rakyat Malaysia dilaporkan dijangkiti virus itu, dengan kes pertama diumumkan pada 17 Februari lalu.

Menurut data harian yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan (MOH) republik berkenaan pada lewat Ahad, lelaki berusia 55 tahun dan dua lagi itu adalah pemegang permit bekerja.

Dua lagi rakyat Malaysia itu masih diklasifikasi sebagai kes tidak dikaitkan.

Selain daripada kluster asrama, lebih 20 rakyat Malaysia dikaitkan dengan kluster lain iaitu ABC Hostel, Mustafa Centre, McDonald Singapura, SAFRA Jurong, SingPost, Project Glory, dan TTJ Design & Engineering Pte Ltd.

Setakat 12 tengah hari Ahad, jumlah kes Covid-19 di Singapura mencatatkan 6,588 dengan 4,706 kes diklasifikasi sebagai penghuni asrama, 305 membabitkan pemegang permit bekerja yang tidak mendiami asrama, 1,008 kes komuniti, dan 569 ialah kes diimport.

Dengan jumlah terbaharu itu, Singapura yang mencatatkan kes pertama Covid-19 pada 23 Januari lalu telah mencatatkan jumlah kes tertinggi dalam kalangan negara anggota ASEAN, sedikit di atas Indonesia.

Sehingga kini, 768 pesakit telah pulih sepenuhnya daripada jangkitan dan dibenarkan pulang dari hospital atau fasiliti pengasingan komuniti, 22 dalam keadaan kritikal di unit rawatan rapi (ICU) manakala, 11 orang meninggal dunia.

Pada Ahad sahaja, republik itu mengenalpasti lima kluster baharu iaitu Woodlands Lodge I; Changi Lodge II; 51, Paya Ubi Industrial Park; 17, Jalan Besut; dan Sembawang Shipyard.

Setakat ini, Singapura mewartakan 12 asrama yang dijangkiti sebagai kawasan pengasingan dengan kebanyakan asrama dihuni warga Bangladesh, India, China dan Myanmar.

Disiarkan pada: April 20, 2020 @ 1:10pm
d