global

Harga minyak AS pulih hari ini

Oleh AFP

Singapura: Harga minyak Amerika Syarikat (AS) melonjak semula di atas paras sifar hari ini, sehari selepas pasaran niaga hadapan ditutup negatif buat pertama kali dalam sejarah.

Ia berikutan kejatuhan permintaan yang dicetuskan Covid-19 menyebabkan bekalan minyak mentah dunia berada dalam lebihan.

Pada dagangan tengah hari di Asia, kontrak penanda aras AS, West Texas Intermediate (WTI) bagi penghantaran Mei berada pada AS$1.67 setong selepas ditutup pada paras -AS$37.63 di New York.

Penjualan besar-besaran berlaku dalam kontrak niaga hadapan Mei yang matang pada hari ini, kerana pedagang terdesak mendapatkan pembeli untuk minyak fizikal.

Bagaimanapun, dengan lebihan bekalan dalam pasaran dan kemudahan penyimpanan penuh, agak sukar untuk mendapatkan pembeli dan harga jatuh pada Isnin menunjukkan pedagang membayar untuk melepaskan minyak mereka.

Pedagang kini memberi tumpuan kepada kontrak bagi penghantaran Jun, yang mana jumlah dagangannya 60 kali lebih tinggi.

Ia juga melonjak semula hari ini dengan menghampiri peningkatan lima peratus kepada lebih AS$21 setong selepas ditutup AS$20.43 setong di New York.

Minyak mentah Brent, penanda aras antarabangsa, berada pada paras AS$25.40 setong bagi penghantaran Jun, susut 0.16 peratus.

Walaupun sudah terbiasa dengan turun naik tidak menentu ketika krisis virus, kejatuhan teruk pada Isnin adalah tanpa petunjuk dan Penganalisis Trifecta Consultants, Sukrit Vijayakar menyifatkannya sebagai ‘salah satu hari dagangan paling luar biasa dalam sejarah apa-apa komoditi’.

Pasaran minyak menyusut dalam beberapa minggu ini berikutan sekatan pergerakan, kawalan perjalanan dan penutupan perniagaan untuk membendung penularan Covid-19 di seluruh dunia menjejaskan permintaan.

Krisis bertambah teruk oleh perang harga antara Arab Saudi dan Russia.

Riyadh dan Moscow berdamai dan sepakat dengan pengeluar utama lain untuk mengurangkan output sebanyak 10 juta tong sehari awal bulan ini.

Bagaimanapun, harga terus jatuh kerana penganalisis berkata pengurangan itu tidak mencukupi dan kemudahan penyimpanan mencapai kapasitinya.

Kejatuhan harga minyak mentah AS semalam dicetuskan sebahagiannya oleh kemudahan penyimpanan WTI di Cushing, Oklahoma diisi serta pedagang menutup pegangan mereka sebelum tamat tempoh kontrak Mei.

Disiarkan pada: April 21, 2020 @ 6:13pm
d