global

UK mula uji vaksin Covid-19

Oleh Agensi

London: United Kingdom (UK) akan menjalankan ujian klinikal vaksin koronavirus ke atas manusia, mulai Khamis.

Setiausaha Kesihatannya, Matt Hancock berkata ujian itu membabitkan vaksin yang dibangunkan di Universiti Oxford.

Beliau berkata, bagi tujuan itu, kerajaan memperuntukkan AS$25 juta (kira-kira RM109 juta) bagi menyokong penghasilan

vaksin berkenaan.

“Untuk strategi jangka panjang, langkah terbaik adalah untuk menggunakan vaksin untuk melawan virus ini,” katanya seperti dilaporkan Bloomberg.

Beliau berkata, berbanding negara lain, UK memperuntukkan kos tertinggi dalam pencarian global bagi penghasilan vaksin itu.

Katanya, ia sekali gus menunjukkan komitmen pihak berkuasa dalam memerangi wabak berkenaan.

“Dalam pada itu, kira-kira AS$25.2 (kira-kira RM110 juta) lagi disalurkan untuk projek berasingan di Kolej Imperial London,” katanya.

Ketika ini, negara kuasa besar berlumba-lumba dalam usaha menghasilkan vaksin Covid-19 yang ketika ini sudah mengorbankan lebih 177,000 orang di seluruh dunia.

Amerika Syarikat menjalankan ujian klinikal untuk menilai keberkesanan vaksin Covid-19 bermula 16 Mac lalu membabitkan 45 sukarelawan di Seattle, Washington.

Sementara China pula sebelum ini dilaporkan membangunkan sembilan jenis vaksin bagi wabak berkenaan.

Bagaimanapun, laporan di AS yang memetik sumber pihak berkuasa kesihatan berkata, tempoh antara setahun atau 18 bulan diperlukan bagi mengesahkan mana-mana vaksin selamat digunakan untuk manusia.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: April 22, 2020 @ 2:10pm
    d