global

Kesihatan pemimpin Korea Utara menimbulkan tanda tanya

Oleh Agensi

Beijing: China menghantar pasukan perubatan merangkumi pakar penjagaan kesihatan ke Korea Utara untuk memberi nasihat mengenai kesihatan pemimpin tertinggi negara itu, Kim Jong Un.

Portal Gulf News melaporkan, Jong Un kini berada dalam keadaan kritikal selepas melakukan pembedahan jantung.

Kini tular di media sosial mengatakan Jong Un dilaporkan sudah meninggal dunia namun tiada pengumuman rasmi daripada kerajaan negara itu.

Maklumat daripada Amerika Syarikat (AS) mengatakan Presiden Korea Utara itu berada dalam keadaan kritikal selepas pembedahan dan setakat ini tiada siapa yang mengetahui dengan jelas status kesihatan Jong Un.

Presiden AS Donald Trump menimbulkan keraguan terhadap laporan kesihatan mengenai pemimpin Korea Utara itu.

Bagaimanapun, Majlis Keselamatan Negara enggan mengulas mengenai laporan itu.

Jong Un tidak hadir dalam perayaan ulang tahun 15 April datuk dan pengasas negara itu, Kim Il Sung.

Dia tidak pernah dilihat sejak 11 April hingga menimbulkan spekulasi mengenai keadaan kesihatannya.

Agensi Berita Pusat Korea yang dikendalikan oleh kerajaan melaporkan Jong Un ada menghantar pesanan kepada Presiden Syria, Bashar al-Assad.

Kesihatan pemimpin Korea Utara adalah salah satu rahsia yang paling dijaga di negara terpencil itu yang hanya diketahui oleh beberapa orang sekitarnya sahaja.

Pegawai dari Jabatan Perhubungan dan kementerian luar China juga enggan memberikan komen mengenai perkara itu.

Disiarkan pada: April 25, 2020 @ 3:26pm
d