global

Gadis wajah 'Angelina Jolie' dijangkiti wabak Covid-19

Oleh Agensi

Tehran: Gadis Iran yang pernah mencetuskan kontroversi kerana didakwa melakukan 50 pembedahan untuk kelihatan seperti pelakon wajah 'Angelina Jolie', dijangkiti wabak Covid-19 ketika berada di dalam penjara.

Agensi berita CNN melaporkan, Payam Derafshan, peguam kepada Fatemeh Khishvand atau dikenali sebagai 'Sahar Tabar' membuat surat terbuka kepada Ketua Keadilan Iran, Ebrahim Reisei merayu pengampunan diberikan kepada anak guamnya.

Sahar Tabar kini ditahan dan dimasukkan ke dalam penjara kerana menghina agama dan mencetuskan keganasan.

Rayuan itu dimuat naik oleh Payam melalui Instagram miliknya dengan berkata, 'Saya mahu menarik perhatian kamu kepada isu kritikal ini, Sahar Tabar yang kini berada dalam tahanan penjara dijangkiti virus Covid-19'.

Oleh itu beliau memohon supaya tindakan yang sesuai dan bertanggungjawab dalam kerangka undang-undang serta peraturan dikeluarkan terhadap anak guamnya itu.

Sahar Tabar seorang bintang media sosial yang sering memuat naik gambar dan video melalui pelbagai proses suntingan untuk kelihatan seperti Angelina.

Gadis itu ditahan pada 2019 atas tuduhan antara lain meraih pendapatan menerusi cara yang salah dan menggalakkan remaja melakukan rasuah.

Payam sebelum ini memaklumkan kepada Pusat Hak Asasi Manusia di Iran bahawa Sahar Tabar kini terpaksa menggunakan ventilator di Hospital Sina.

Iran kini berhadapan dengan 87,026 kes dengan 5,481 kematian kerana pandemik Covid-19.

Disiarkan pada: April 26, 2020 @ 11:11am
d