global

Diperkosa di pusat kuarantin

Oleh Agensi

New Delhi: Seorang wanita berdepan detik hitam apabila diperkosa tiga lelaki ketika menjalani proses kuarantin sendirian di sebuah sekolah di Rajasthan, Khamis lalu.

Wanita itu dikuarantin di sekolah berkenaan selepas ditemui pihak berkuasa ketika dia mahu menumpang berteduh di sebuah balai polis.

Sebelum itu, wanita berusia 40-an itu dikatakan berjalan berpuluh kilometer tanpa diketahui arah tujuannya.

Kompas.com melaporkan, wanita yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri itu bagaimanapun lupa jalan pulang semula ke rumahnya.

Disebabkan tiada kemudahan perlindungan sementara, wanita itu dibawa ke sebuah sekolah yang dijadikan pusat kuarantin Covid-19.

Jurucakap polis daerah Sawai Madhopur, Parth Sharma berkata, mangsa diletakkan sendirian di sekolah berkenaan, tetapi kemudian dirogol tiga lelaki.

"Polis yang menjalankan siasatan berjaya menahan ketiga-tiga suspek," katanya ketika dihubungi.

Sharma berkata, mangsa juga akan menjalani ujian Covid-19 di pusat kuarantin berkenaan.

Dalam pada itu, Suruhanjaya Kebangsaan bagi Hal Ehwal Wanita India melaporkan perintah berkurung menyaksikan peningkatan kes keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak di negara itu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: April 28, 2020 @ 6:31am
    d