global

Covid-19: Beberapa negara longgar sekatan

Oleh Agensi

Beijing: Beberapa negara mula melonggarkan sekatan pergerakan ketika jumlah kes jangkitan Covid-19 dunia, kini melepasi tiga juga.

Daripada jumlah itu, hampir satu juta kes direkodkan di Amerika Syarikat (AS) sekali gus menjadikan negara terbabit sebagai paling terjejas dengan pandemik berkenaan.

Bagaimanapun, AS sudah mengambil langkah untuk membuka semula ekonominya dengan sesetengah negeri membenarkan kilang beroperasi susulan jangkaan kadar pengangguran akan mencecah 16 peratus pada bulan ini.

Itali pula membenarkan sesetengah kilang beroperasi semula pada 4 Mei, manakala Sepanyol kini membolehkan kanak-kanak berada di luar rumah dengan pemantauan orang dewasa.

The Guardian pula melaporkan New Zealand sudah menamatkan sekatan pergerakan yang ketat di negara itu apabila membenarkan rakyatnya kembali bekerja dan restoran pandu lalu dibuka semula, semalam.

Perdana Menterinya, Jacinda Ardern berkata, sekatan pergerakan yang ketat sebelum ini membantu mengekang penularan Covid-19 di negara itu sehingga merekodkan antara nisbah jangkitan untuk setiap 100,000 terendah dunia.

Dalam pada itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran bahawa pandemik itu tidak akan berakhir dalam masa terdekat dengan jumlah kes dijangka meningkat di Afrika.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: April 28, 2020 @ 1:30pm
    d