global

Doktor maut rawat pesakit tak jujur

Oleh Agensi

Jakarta: Seorang doktor maut akibat Covid-19 selepas merawat seorang pesakit yang merahsiakan status positif virus berkenaan.

Dr Berkatnu Indrawan yang bertugas di Rumah Sakit Umum Daerah Dr Soewandhie di Surabaya disahkan meninggal dunia, Isnin lalu.

CNN Indonesia melaporkan doktor berkenaan sebelum itu merawat seorang pesakit dari Pemalang yang dijangkiti virus berkenaan.

Menurut Koordinator Kesihatan Penugasan Covid-19 Surabaya, Febria Rachmanita, beberapa hari selepas merawat pesakit itu, doktor terbabit memaklumkan dia mengalami asma teruk.

"Doktor itu petugas barisan hadapan untuk merawat Covid-19 namun pesakitnya tidak bersikap jujur ketika menerima rawatan

"Disebabkan itu, doktor berkenaan dijangkiti tanpa disedarinya," katanya.

Beliau berkata, doktor berkenaan yang mengadu mengalami asma diberi rawatan sebelum menjalani ujian Covid-19 dan disahkan positif.

"Doktor berkenaan menjalani ujian saringan tiga minggu lalu dan hasilnya positif," katanya.

Katanya, selepas dirawat selama tiga minggu, doktor berkenaan kembali pulih dan ujian susulan mendapati dia negatif wabak berkenaan.

Namun, keadaan kesihatan doktor itu merosot apabila jantungnya membengkak sebelum dia disahkan meninggal dunia.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: April 29, 2020 @ 6:59am
    d