global

Ajal rai tamat tempoh berkurung

Oleh Agensi

Istanbul: Kegembiraan dua sahabat meraikan tamatnya tempoh perintah berkurung berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka maut akibat terjatuh dari cenuram ke dalam Laut Mediterranean di sebuah pusat peranginan terkenal di Antalya, Turki.

Olesya Suspitsyna, 31, dari Kazakhstan terjatuh dari ketinggian 35 meter ketika mahu merakam gambar berlatar belakangkan Air Terjun Dunden.

Air terjun yang menjadi tarikan popular pelancong itu mengalir dari cenuram ke Laut Mediterranean.

Portal Mirror melaporkan insiden itu berlaku Ahad lalu ketika Kerajaan Turki mengumumkan penamatan tempoh berkurung di Antalya.

Menurut laporan itu, ketika kejadian, Olesya dan seorang rakannya bersiar-siar di kawasan air terjun berkenaan.

Olesya kemudian dikatakan mahu merakamkan gambarnya di tepi cenuram dengan berlatar belakangkan air terjun itu.

Dia mendaki pagar keselamatan dan mula merakam gambar tetapi tiba-tiba tergelincir sebelum terjatuh dari cenuram itu.

Rakannya memaklumkan kejadian kepada pihak berkuasa sebelum pasukan penyelamat menemui mayat mangsa di kawasan perairan itu.

Siasatan Polis Turki merumuskan tragedi itu sebagai satu kemalangan.

Saudara terdekatnya, Yuri berkata, Olesya bekerja sebagai pemandu pelancong di Antalya, sejak lima tahun lalu, adalah wanita yang bijak dan ceria.

Disiarkan pada: May 3, 2020 @ 6:30am
d