global

Covid-19: Jepun lanjut perintah darurat

Oleh AFP

Tokyo: Jepun melanjutkan perintah darurat bagi mengekang penularan Covid-19 di negara itu, kepada 31 Mei ini.

Perdana Menteri Shinzo Abe berkata, kerajaan berpendapat adalah terlalu awal bagi menarik balik perintah berkenaan.

"Saya akan melanjutkan perintah darurat yang diumumkan pada 7 April lalu sehingga 31 Mei.

"Ia meliputi semua kawasan di seluruh negara," katanya.

Pada awalnya, perintah darurat itu hanya berkuat kuasa di Tokyo dan enam wilayah.

Ia kemudian dikuatkuasakan di seluruh negara.

Perintah darurat itu sepatutnya berakhir Rabu ini.

Dalam pada itu, Menteri Jepun yang bertanggungjawab bagi isu Covid-19, Yasutoshi Nishimura sebelum ini berkata, jumlah kes baharu virus itu masih meningkat.

"Ia tidak menyamai dengan sasaran kita," katanya.

Perintah darurat di Jepun tidak seketat kawalan pergerakan bagi mengekang Covid-19 di Eropah dan Amerika Syarikat.

Kerajaan meminta penduduk duduk di rumah, dan mengarahkan semua operasi perniagaan ditutup.

Bagaimanapun, pihak berkuasa tidak boleh memaksa rakyatnya mengikuti arahan itu dan tiada hukuman dikenakan bagi mereka yang ingkar.

Setakat semalam, lebih 15,000 kes positif Covid-19 dilaporkan di negara itu, dengan 510 kematian.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: May 5, 2020 @ 9:42am
    d