global

Pesawat hantar bantuan Covid-19 terhempas

Oleh Agensi

Mogadishu: Pesawat membawa bantuan perubatan untuk pesakit Covid-19 terhempas di Bardale, barat laut Somalia, pada Isnin.

Portal berita, The National melaporkan, nahas ketika pesawat cuba mendarat di sebuah landasan kapal terbang itu menyebabkan semua enam kru dan penumpang terbunuh.

Mangsa adalah juruterbang, pembantu juruterbang, jurutera penerbangan, juruterbang pelatih bersama dua pekerja syarikat penerbangan.

Menteri Pengangkutan Somalia Mohamed Salad berkata, pesawat itu membawa warga Kenya dan Somalia dan dalam perjalanan menghantar bekalan ke bandar berkenaan.

"Lima mayat berjaya ditemui setakat ini," katanya.

Pasukan siasatan sudah dihantar ke lokasi kejadian.

Mohamad Salad juga menafikan spekulasi punca nahas kerana pesawat ditembak jatuh.

Ia selepas bekas Menteri Pertahanan negara itu, Abdirashid Abdullahi Mohamed mendakwa ada saksi melihat pesawat cuba mendarat tetapi gagal kerana ada haiwan liar di landasan.

Namun, katanya ia ditembak di sayap pada cubaan kedua untuk mendarat.

Gambar di lokasi nahas menunjukkan pesawat itu terbakar dengan serpihan bertaburan di kawasan sekitarnya, tanpa menjejaskan bahagian ekor pesawat.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: May 5, 2020 @ 1:02pm
    d