global

Demi Meghan

Oleh Agensi

Los Angeles: Demi menghormati isterinya, Meghan Markle yang juga pencinta haiwan, Putera Harry menjual raifal dan berhenti daripada aktiviti memburu haiwan.

Lapor Mirror, Harry menjual set senjata perburuan berkenaan bernilai £50,000 Pound Sterling (kira-kira RM267,000) dalam satu urus niaga, lima bulan lalu.

Dua senjata api Purdey berkenaan dilaporkan dijual kepada seorang pembeli yang enggan dikenali.

"Dia membeli senjata itu kerana dia mahukannya bukan sebab ia kepunyaan Harry.

"Dia berbesar hati dapat memiliki senjata cantik itu dan dia bukan orang yang jenis berbangga atau menunjuk-nunjuk apabila ada kaitan dengan keluarga diraja berkenaan," kata rakan pembeli itu kepada The Sun.

Sementara itu, bercakap kepada Radio Times minggu lalu, ahli pemuliharaan, Dr Jane Goodall mengulas mengenai tabiat berburu Harry dan abangnya Putera William.

"Mereka berburu haiwan tetapi saya rasa Harry akan berhenti (aktiviti berburu) kerana Meghan tidak suka pemburuan," katanya.

Harry dilucutkan dalam semua jawatan ketenteraan pada 31 Mac lalu apabila beliau dan Meghan mengambil keputusan mengundur diri daripada keluarga Diraja Britain.

Duke dan Duchess of Sussex itu dikatakan dalam proses mencari kediaman di Los Angeles dan merancang membawa ibu Meghan, Doria Ragland menetap bersama mereka.

Disiarkan pada: May 8, 2020 @ 6:30am
d