global

'Duduk rumah atau menari dengan kami'

Oleh Agensi

KUMPULAN pembawa keranda Ghana yang menyuntik elemen tarian dalam tugas mereka memberi amaran kepada orang ramai untuk mematuhi arahan kerajaan negara masing-masing bagi mengekang penularan pandemik Covid-19.

Kumpulan berkenaan yang dikenali sebagai Ghana Dancing Pallbearers atau nama asalnya Nana Otafrija Pallbearing and Waiting Service menjadi sensasi Internet selepas aksi mereka menari sambil membawa keranda menjadi perhatian dunia khususnya selepas kemunculan Covid-19.

BBC melaporkan, melalui video terkini yang dikongsi, ketua kumpulan itu, Benjamin Aidoo mengambil kesempatan mengucapkan penghargaan kepada barisan hadapan khususnya petugas kesihatan yang bertungkus-lumus menjalankan tugas membantu pesakit Covid-19.

"Kami ingin berterima kasih kepada semua doktor di dunia. Anda semua gigih bekerja untuk menjaga semua orang.

"Ingatlah, duduk di rumah atau menari dengan kami," katanya dalam video berdurasi 20 saat itu.

Kumpulan berkenaan mula menjadi perhatian sejak 2017 selepas BBC Africa mendedahkan keunikan mereka yang menyelitkan tarian dalam rutin membawa keranda.

Mereka menukar proses pengebumian menjadi satu persembahan yang turut disertakan muzik tradisional dimainkan secara langsung.

Adoo memaklumkan BBC bahawa rutin tarian itu ditawarkan sebagai pilihan tambahan kepada pelanggan perkhidmatan pengebumian yang disediakannya.

"Saya membuat keputusan untuk menambah koreografi dalam upacara ini dan pelanggan hanya bersetuju," katanya.

Populariti kumpulan itu turut meningkat selepas pandemik Covid-19 di mana pengguna sosial media menggunakan imej mereka sebagai meme bagi menerangkan situasi 'mengundang maut'.

Disiarkan pada: May 9, 2020 @ 2:44pm
d