global

Pesakit Covid-19 terawal Indonesia dikecam

Oleh Agensi

Jakarta: Disebabkan latar belakang mereka sebagai penari dan menjadi tiga pesakit terawal Covid-19 di Indonesia, tiga beranak menerima kecaman hebat di laman sosial hingga ada menggelar mereka pelacur.

South China Morning Post melaporkan Sita Tyasutami, 31, dan ibunya Maria Darmaningsih, 64, adalah kes pertama dan kedua Covid-19 negara itu diikuti kakak Sita, Ratri Anindyajati, 33. Mereka dirawat di Hospital Sulianti Sarosa di sini dan sembuh.

Maklumat mengenai tiga beranak itu bocor selepas Presiden Joko Widodo (Jokowi) mengumumkan tiga sekeluarga sebagai kes pertama jangkitan Covid-19 di negara itu pada awal Mac lalu.

Walaupun Jokowi tidak mendedahkan identiti mereka namun pendirian kerajaan ketika itu yang tidak mahu mewujudkan suasana panik menyebabkan penduduk menyalahkan ketiga-tiganya sebagai punca koronavirus merebak di Indonesia hingga maklumat peribadi mereka diceroboh dan disebarkan di media sosial.

Ada warganet yang mempersoalkan moral mereka dengan fitnah mereka menari di kelab malam dan menyindir mereka sebagai pelacur, semuanya mengejutkan Anindyajati yang berkata, mereka bertiga adalah sasaran mudah untuk diserang.

"Pertama kami adalah perempuan dan kedua, kami terbabit dalam industri tarian yang dipandang serong masyarakat berfikiran tradisional," katanya yang bergelar produser seni bebas dan penari tarian Jawa.

Adiknya, Tyasutami bekerja sebagai pengurus seni persembahan dan instruktor tarian manakala ibu mereka pensyarah di Institut Kesenian Jakarta dan mengajar tarian klasik Jawa dan kontemporari.

Walau menerima serangan sedemikian Anindyajati mengingatkan dirinya dan keluarga supaya sentiasa positif dan tidak terkesan dengan kecaman dan komen negatif itu, malah mereka boleh memanfaatkan perkara lebih baik termasuk menderma plasma darah untuk kajian di hospital Jakarta dan berkongsi pengalaman dalam pelbagai acara.

Wanita itu turut memulakan kempen sentiasa positif di Instagram miliknya dengan berpandangan, positiviti adalah apa yang negara perlukan ketika menghadapi kesukaran akibat wabak itu.

Mengulas bentuk tekanan diterima, katanya, mereka terpaksa bertahan apabila gambar ketika dibawa ke hospital tersebar dalam WhatsApp bersama pelbagai cemuhan daripada pihak yang tidak mengenali mereka.

"Ada ratusan komen negatif di Instagram kami terutama adik saya kerana dia pesakit pertama. Dia lebih banyak dihina," katanya yang menetap di Vienna dan pulang bercuti di sini ketika dijangkiti wabak.

Sebalik kecaman diterimanya termasuk persoalan penduduk mengenai keupayaan perkhidmatan kesihatan negara, wanita itu berpandangan doktor, jururawat dan petugas makmal di hospital berkenaan sangat profesional dan bersedia. - Agensi

Disiarkan pada: May 11, 2020 @ 8:08am
d