global

Kluster baharu pusat hiburan

Oleh AFP

KOREA Selatan kini berdepan ancaman gelombang kedua penularan wabak Covid-19.

Ia selepas satu kluster baharu jangkitan tempatan dikesan dari sebuah pusat hiburan negara itu.

Setakat pagi Isnin (semalam), sebanyak 85 kes dikaitkan dengan seorang lelaki berusia 29 tahun yang mengunjungi lima pusat hiburan dan bar di Itaewon pada awal bulan ini.

Susulan itu, pihak berkuasa mengarahkan semua bar dan pusat hiburan di ibu negara, Incheon dan Gyeonggi ditutup serta-merta.

Mana-mana individu yang mengunjungi pusat hiburan dan bar di Itaewon, dalam dua tempoh dua minggu kebelakangan ini juga digesa untuk menjalani ujian saringan.

Peningkatan kes itu memberi tamparan kepada Korea Selatan yang baru sahaja melonggarkan perintah penjarakan sosial, Rabu lalu.

Selain itu, muzium dan gereja sudah beroperasi manakala liga sukan profesional tertentu termasuk tenis dan besbol juga disambung kembali.

Negara itu sebelum ini menerima pujian antarabangsa atas langkah proaktif dalam membendung Covid-19.

Pihak berkuasa tidak menguatkuasakan lockdown, sebaliknya mengarahkan penjarakan sosial yang ketat.

Kejayaan Korea Selatan dalam membendung Covid-19, antara lain, disebabkan usaha pihak berkuasa meningkatkan ujian saringan dan pengesanan kontak.

Setakat semalam, negara itu merekodkan 10,909 kes positif Covid-19 dengan 256 kematian.

Disiarkan pada: May 12, 2020 @ 6:01am
d