global

54 hari terkandas di ruang transit

Oleh Agensi

NEW DELHI: Selepas 54 hari terkandas di ruang transit Lapangan Terbang Antarabangsa Indira Gandhi di New Delhi, seorang lelaki Jerman akhirnya berlepas ke Amsterdam.

Menurut sumber, lelaki itu menaiki penerbangan KLM, Selasa lalu, selepas ujian saringan Covid-19 mengesahkan dia negatif daripada virus berkenaan.

Portal NDTV melaporkan, Edgard Ziebat, 40, terkandas di lapangan terbang itu selepas India menguatkuasakan perintah lockdown.

Sebelum itu, dia tiba di India dengan pesawat Vietjet dari Vietnam pada 18 Mac lalu dan mahu mengambil penerbangan terus ke Istanbul, Turki.

Tetapi tiada penerbangan ke destinasi itu kerana India menghentikan semua perkhidmatan penerbangan komersial akibat Covid-19.

Pihak berkuasa lapangan terbang meminta warga Jerman itu menaiki penerbangan khas ke negara asalnya.

Bagaimanapun, Kedutaan Jerman dan syarikat penerbangan tiada kata sepakat untuk membawanya menaiki pesawat itu.

Ia berikutan lelaki terbabit ada rekod kesalahan lampau di negara asalnya.

Turkish Airline juga enggan membenarkannya menaiki pesawat khasnya berikutan Ziebat bukan penduduk tetap Turki.

Pada masa sama, India tidak mengeluarkan visa bagi individu yang ada rekod jenayah.

Bagaimanapun, laporan itu tidak menyebut jenis kesalahan lelaki itu.

Difahamkan, pengendali lapangan terbang menyediakan kemudahan asas untuk lelaki itu sepanjang dia tinggal di situ.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: May 15, 2020 @ 7:20am
    d