global

'Usah risau jumlah jangkitan bertambah'

Oleh Agensi

SINGAPURA: Menteri Tenaga Manusia, Josephine Teo menggesa orang ramai supaya tidak terlalu risau melihat bilangan jangkitan Covid-19 di Singapura kekal tinggi sepanjang beberapa hari akan datang.

Berita Harian Singapura melaporkan angka berkenaan direkodkan tinggi hasil ujian menyeluruh dijalankan ke atas semua pekerja asing menjelang Jun, apabila langkah pemutus rantaian jangkitan dilonggarkan beransur-ansur.

Teo dalam satu catatan Facebook berkata, sejumlah besar kes Covid-19 di Singapura terdiri daripada pekerja asing yang tinggal di dormitori.

"Saya menyokong pendekatan ujian meluas ini.

"Bilangan besar kes yang dilaporkan dalam kalangan pekerja asing mencerminkan pendekatan kita sekarang terhadap ujian agresif. Tidak banyak negara menguji penduduk asing mereka secara meluas, malah lebih sedikit yang menguji semua pekerja asing mereka seperti yang dilakukan Singapura," katanya.

Katanya, dalam proses beralih ke fasa pemulihan, negara perlu cuba dan membantu perniagaan memulakan semula operasi dengan selesa, dan membantu pekerja kembali bekerja dengan selamat.

Disiarkan pada: May 16, 2020 @ 6:00am
d