global

Jakarta cadang buka semula sekolah bulan depan

Oleh Agensi

AGENSI Pendidikan Jakarta merancang untuk membuka semula sekolah pada 13 Julai nanti selaras dengan permulaan sesi persekolahan 2020/2021.

Kompas melaporkan, pihak berkuasa sudah mengeluarkan formula untuk tiga situasi berbeza bagi membolehkan pelajar meneruskan sesi pembelajaran di sekolah.

Ketua agensi berkenaan, Nahdiana berkata, sekiranya Pembatasan Sosial Berskala Besar (PSBB) ditamatkan, ia bermakna negara juga bersedia untuk membuka semula sekolah.

"Kita telah membuat persiapan untuk beberapa senario yang berbeza," katanya dalam rakaman video baru-baru ini.

Katanya, terdapat tiga pilihan untuk dipertimbangkan bagi memastikan sesi persekolahan berjalan lancar.

"Pilihan pertama adalah membuka beberapa sekolah terpilih dan membenarkan semua pelajarnya menghadiri sesi pembelajaran.

"Pilihan kedua adalah membuka beberapa sekolah dan membenarkan separuh daripada jumlah pelajar untuk hadir ke kelas.

"Manakala, pilihan ketiga adalah membuka semua sekolah seperti biasa namun, hanya separuh pelajar dibenarkan berada di sekolah dan selebihnya meneruskan sesi pembelajaran dari rumah," katanya.

Namun, katanya pelaksanaan pelan berkenaan bergantung kepada pentadbiran Jakarta dan polisi kerajaan pusat selain kesediaan sekolah menyediakan kemudahan bagi mengekang penyebaran Covid-19.

PSBB mula dilaksanakan sejak 10 April lalu dan kini memasuki fasa kedua yang akan berakhir 22 Mei nanti.

Pelajar dikehendaki meneruskan sesi pembelajaran di rumah masing-masing kerana sekolah dan universiti ditutup akibat pandemik Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: May 17, 2020 @ 6:28pm
    d