global

Indira mohon maaf

Oleh Agensi

Jakarta: Seorang 'vlogger' kecantikan terkenal Indonesia memohon maaf selepas memperlekehkan protokol kesihatan bagi mengekang Covid-19.

Indira Kalistha yang mempunyai 3.15 juta pengikut di saluran YouTube membuat permohonan maaf selepas menerima kecaman teruk daripada warganet.

Malah, ia turut mendapat perhatian pakar perubatan yang menempelak personaliti media sosial itu kerana tidak mengambil serius bahaya Covid-19.

Tribunenews.com yang memetik laporan Kompas.com melaporkan permohonan maaf itu dibuat menerusi melalui Instagram @indirakalistha.

"Saya Indira Kalistha, meminta maaf kepada semua," katanya.

Sebelum ini, Indira mencetuskan kontroversi apabila mengeluarkan kenyataan enggan memakai pelitup muka dan mencuci tangan sehingga mengundang kemarahan masyarakat.

Kenyataan itu dibuat menerusi saluran Youtube Gritte Agatha, baru-baru ini.

Dia mengakui hanya memakai pelitup muka apabila ditegur petugas di tempat awam.

"Jika tidak ditegur, saya tidak pakai. Sesak dada, katanya.

Untuk rekod, setakat ini Indonesia mencatatkan 18,010 kes Covid-19 dengan 1,191 kematian.

Disiarkan pada: May 20, 2020 @ 8:15am
d