global

'Ketupat' jejak 54,120 mudik

Oleh Agensi

JAKARTA: Polis Trafik Indonesia mengarahkan 54,120 kenderaan berpatah balik selepas ia didapati membawa individu yang cuba pulang ke kampung bagi menyambut Aidilfitri.

Angka itu berdasarkan statistik Operasi Ketupat yang bermula dari 24 April hingga Selasa lalu.

Portal Gridoto melaporkan ramai ingkar dengan arahan pihak berkuasa yang melarang penduduk pulang ke kampung bagi menyambut Aidilfitri, tahun ini.

"Mereka yang didapati mahu pulang ke kampung diarah berpatah balik," kata Ketua Polis Trafik Nasional, Benyamin ketika dihubungi Gridoto.

Benyamin berkata, menerusi sekatan Polis Daerah Metro Jaya sahaja, sebanyak 20,718 kenderaan diminta berpatah balik.

Daerah berkenaan membabitkan kawasan metropolitan Jakarta.

Sementara itu, Polis Daerah Jawa Timur mengarahkan 11,689 kenderaan berpatah balik, diikuti Jawa Barat (8,671 kenderaan) dan daerah Banten (6,629 kenderaan).

Selain itu, Jawa Tengah (4,523 kenderaan) dan daerah Lampung (1,340 kenderaan).

Sebelum ini, Indonesia melarang untuk rakyatnya untuk mudik atau pulang ke kampung bagi menyambut Aidilfitri bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Setiap tahun, dianggarkan kira-kira 20 juta pekerja di bandar-besar besar termasuk Jakarta akan pulang ke kampung pada akhir Ramadan.

Setakat semalam, Indonesia mencatatkan 19,189 kes positif Covid-19 dengan 1,242 kematian.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: May 22, 2020 @ 6:30am
    d