global

Buaya milik Hitler mati di zoo

Oleh Agensi

Moscow: Seekor buaya berusia 84 tahun yang diberi nama Saturn dan dipercayai milik Adolf Hitler dilaporkan mati di Zoo Moscow di sini, kelmarin.

Fox News melaporkan zoo itu dalam satu kenyataan memberitahu ia perkara luar biasa kerana reptilia daripada spesies berkenaan jarang melepasi usia 50 tahun.

"Kami berbesar hati dapat menjaga Saturn selama 74 tahun.

"Saturn hidup di pelbagai era dan wujud sejak kami masih kanak-kanak.

"Kami melakukan yang terbaik dalam menjaganya serta diharap tidak mengecewakan Saturn," katanya.

Buaya itu lahir di Amerika Syarikat pada 1936 sebelum dibawa ke Zoo Berlin.

Ketika Perang Dunia Kedua, zoo berkenaan turut terkena bom dan reptilia itu tiba-tiba hilang.

Saturn kemudian ditemui Tentera British pada 1946 dan diserahkan kepada pihak berkuasa Soviet Union.

Menurut pihak zoo, kehilangan Saturn selama tiga tahun dari 1943 hingga 1946 masih menjadi misteri.

Pada Julai 1946, Saturn dibawa ke Moscow dan timbul khabar angin mengatakan reptilia berkenaan sebahagian daripada koleksi peribadi pemimpin Nazi Jerman, Adolf Hitler.

Bagaimanapun, tiada pengesahan khabar angin itu.

Menurut laporan BBC, bangkai Saturn yang diawet diserahkan kepada Muzium Darwin di Moscow untuk dipamerkan.

Disiarkan pada: May 26, 2020 @ 7:01am
d